MERSING - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing bersama enam yang lain termasuk tekong di Pulau Tinggi, jam 3 pagi tadi.

Mangsa, Amran Mohamac Ayilina, 43, tidak dapat dikesan selepas terjatuh ke dalam laut ketika berada di posisi lebih kurang 11 batu nautika timur dari pulau berkenaan.

Maritim Malaysia Negeri Johor dalam satu kenyataan memaklumkan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Negeri Johor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima laporan dari tekong bot.

“Sebuah bot peronda Maritim dan dibantu sebuah bot dari Pasukan Polis Marin telah diatur gerakan ke kawasan berkenaan bagi mencari dan menyelamat mangsa.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di laut dan menitik beratkan aspek keselamatan setiap kali turun ke laut,” katanya.