MERSING - Seorang pelajar poli­teknik maut selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan mem­babitkan dua kereta di KM71 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran pejabat Risda, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.40 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamad Firdauz Faizal, 18, maut di lokasi kejadian.

Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Mohd Rafie Mohd Nor berkata, pihak bomba dengan kekuatan tujuh anggota dan sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kejadian itu.

Menurutnya, kema­langan membabitkan dua Proton Saga di mana satu datang dari arah Kota Tinggi ke Mersing manakala sebuah lagi datang dari arah Mersing ke Kota Tinggi.

“Mangsa yang meninggal dunia menaiki Proton Saga bersama tiga rakannya diper­cayai perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Mersing untuk balik ke politeknik.

“Dalam kejadian itu tiga rakannya turut cedera di mana pemandu kenderaan tersepit dan berjaya dikeluar­kan dengan bantuan pihak bomba selepas kira-kira 20 minit operasi dilakukan.

“Ketika sampai kesemua mangsa termasuklah empat mangsa cedera dari sebuah lagi kereta terlibat kema­langan sama telah dibawa keluar oleh orang awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan mangsa merupakan pelajar politeknik berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.