BESUT - Seorang pelajar Tingkatan Dua Madrasah Moden Maidam Besut dekat Kampung Padang Landak, di sini, maut ditimpa tiang gol kira -kira 11 pagi tadi.

Ahmad Muazz Naimullah Mohd Azhar, 14, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan dalaman di bahagian leher

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa sebelum itu dikatakan bermain bola di padang sekolah agama itu.

Menurutnya, mangsa yang bertindak sebagai penjaga gol dilihat bergayut pada palang tiang gol tersebut.

"Tiba-tiba tiang tersebut terbalik dan menimpa bahagian tengkuknya namun mangsa mengangkat sendiri tiang gol tersebut dan bangun berdiri.

"Tetapi selepas beberapa langkah berjalan, mangsa rebah dan rakannya memaklumkan kejadian kepada guru sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Besut,," katanya.

Mohd Zamri berkata, mangsa dari Kampung Sura Hujung, Dungun bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Menurutnya, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat patah leher.