PARIT - Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 27, Jalan Beruas - Parit - Ipoh, di sini, hari ini.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Syakir Nizamuddin Shahrulniza itu meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai baru pulang dari sekolahnya dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Parit.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pelajar yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC itu cuba memotong sebuah kenderaan namun bergesel dengan kereta Proton Waja yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa terjatuh di tepi jalan manakala motosikalnya pula terseret lalu melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang berada di laluannya.  MPV pula dilanggar van jenis Maxus V80 dari arah belakang,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.