AMPANG - Aktiviti riadah sekumpulan pelajar sebuah kolej bertukar tragedi apabila salah seorangnya maut dipercayai lemas di Sungai Congkak, Hulu Langat, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3 petang.

“Mangsa merupakan pelajar perempuan berusia 20 tahun sedang mandi bersama dua lagi rakannya pada jam 2.30 petang, tiba-tiba kepala air datang menghanyutkan mangsa sejauh 300 meter dari lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian.

“Orang ramai perlu lebih berwaspada, agak bahaya mandi di sungai ketika musim hujan kerana kepala air besar boleh datang dengan tiba-tiba,” katanya.