TAWAU - Seorang pelajar perempuan di sini dilaporkan hilang sejak semalam dan dikhuatiri lemas di Sungai Kalabakan dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Nur Aliyah Ansar, 8, pelajar SK Ulu Kalabakan hilang ketika mengikut ibu saudaranya mencuci baju di sungai berkenaan dan mandi.

"Bagaimanapun, ibu saudara tidak menyedari mangsa hilang tiba-tiba," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, keluarga mangsa membuat laporan polis dan sejurus selepas itu, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan sehingga 10 malam.

"Gerakan diteruskan hari ini dengan bantuan anggota polis, bomba serta lebih 60 penduduk kampung yang menggunakan bot masing-masing," katanya. - Bernama