REMBAU – Seorang pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) maut dipercayai dilanggar lari dalam kejadian di kilometer 237.4, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, mangsa, Khairuddin Abu Bakar, 60, beralamat di Taman Bahau, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik susulan kecederaan di bahagian badan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari Senawang ke Ayer Keroh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah berhenti di lorong kecemasan untuk mengangkat genset (arrow) yang berada di lorong kecemasan.  

"Secara tiba-tiba mangsa telah dilanggar oleh kenderaan lain yang sehingga kini masih belum dapat dipastikan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu kenyataan di sini, tadi.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan diharap dapat menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sarah Ismail di talian 06-6852222 atau mana-mana balai polis terdekat.

Ibrahim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.