JELI - Seorang wartawan sambilan akhbar Kosmo meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 90.3 Jalan Kota Bharu-Machang-Grik berdekatan Kampung Gemang petang semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan sambilan Kosmo parah kemalangan]

Allahyarham Samsul Bahari Mohamed, 46, meninggal dunia pada pukul 4.00 pagi tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akibat cedera parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan, Mohd Yusoff Jaafar berkata kemalangan itu berlaku pada pukul 5.28 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gemang di sini, selepas selesai membuat liputan sebuah majlis.

"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa bergesel dengan sebuah treler yang berhenti di bahu jalan dari arah Jeli ke Tanah Merah.

"Kejadian itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Persona," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Allahyarham yang berkhidmat dengan akhbar berkenaan sejak 2006 itu akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Kampung Kulim, Lakota di sini, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak berusia antara tujuh hingga 26 tahun. -Bernama