GUA MUSANG - Seorang penduduk Orang Asli dari Kampung Pos Tohoi, di sini, meninggal dunia selepas tiga hari menahan sakit.

Atam Angah, 50, meninggalkan seorang isteri, Semah dan enam anak yang masih kecil.

Menurut penduduk kampung, Ahud Duga, Atam meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kuala Betis selepas batuk berdarah.

Katanya, sejak tiga hari lalu, rakannya itu mengadu sakit dan batuk tanpa henti sehingga keluar darah.

"Semalam, dia makin teruk di mana dia muntah darah. Sebelum ini, usaha untuk membawa Atam ke Hospital Gua Musang (HGM) gagal kerana hujan lebat.

"Hujan berterusan menyebabkan penduduk kampung tidak berani untuk keluar kerana jalan becak dan berselut tebal.

"Namun, bila dia makin teruk, kami nekad membawanya ke klinik. Atam menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 malam," katanya.

Tambah Ahud, jenazah Atam dibawa pulang ke Kampung Tohoi untuk urusan pengebumian.

Atam merupakan salah seorang 'pejuang' sekatan balak yang dibina komuniti Orang Asli sejak sembilan bulan lalu.