DUNGUN - Nenek maut, manakala tiga cucunya cedera dalam nahas jalan raya di kilometer 2.5 Jalan Dungun-Durian Mentangau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, motosikal ditunggang Sarifaf Ali, 58 bersama tiga cucu berusia 7 hingga 11 tahun dirempuh oleh sebuah kereta.

Kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai terbabas dan berpusing sebelum merempuh motosikal mangsa.

Mangsa dari kampung Durian Mentangau meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Dua cucunya cedera ringan, manakala seorang lagi, Muhammad Dinie Khalish Mohd Shamrizal, 7 dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan  dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki tiga lelaki yang datang dari arah Dungun menghala ke Ketengah Jaya hilang kawalan selepas melanggar lopak air.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kereta tersebut terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama tiga cucu yang datang dari arah bertentangan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala tiga cucunya dikejarkan ke unit kecemasan untuk rawatan lanjut.

"Pemandu dan dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan serta laporan polis sudah dibuat.

"Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.