PITAS - Seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Hup Seng Kampung Kituwo, di sini, malam tadi.

Menurut laporan Astro Awani, Intang Kapuk, 74, ditemui sepasukan anggota bomba selepas operasi pemadaman kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Naim Mohd Nasir berkata pihak bomba telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.31 malam.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian pihak bomba terus menjalankan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada jam 10.58 malam.

"Ketika menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan kebakaran bagi memastikan tiada benda berbahaya lain pihak bomba menemui mayat seorang wanita rentung.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataannya kepada media, hari ini.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.10 tengah malam.