BANDAR BAHARU - "Ketika saya lalu jambatan itu kira-kira jam 10 malam, nak ambik adik tuisyen masih elok . Tapi masa balik ada tiga orang tahan saya tak bagi lalu, kata saksi kejadian dua remaja yang maut tertimbus selepas jambatan runtuh di Jalan Taman Seri Serdang, malam tadi. 

Mohamad Azmi Nawawi, 20, berkata ketika kejadian ada tiga penduduk sekitar telah menahannya untuk menghentikan kenderaan kerana berlaku jambatan runtuh di hadapan.

"Depa kata jambatan runtuh dan ada orang sudah jatuh, memang kalau depa tak bagitahu saya tak nampak sebab jalan nampak sama saja," katanya.

Katanya, kedua mangsa yang tertimbus tanah itu tidak perasan keadaan jambatan itu dan tidak sempat menghentikan motosikal mereka.

"Tiga penduduk yang menyedari kejadian jambatan runtuh itu tidak sempat hendak menahan depa supaya tak lalu di situ, kerana depa potong motosikal.

"Masa depa jatuh dalam sungai, tanah timbus depa. Nasib sungai masa itu tak berapa ada air.

"Saya pi (pergi) tengok hanya nampak bahagian besi belakang motosikal saja, depa kami tak nampak," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua remaja maut tertimbus jambatan runtuh]

Difahamkan runtuhan tersebut melibatkan keluasan sejauh kira-kira 30 meter lebar dan berkedalaman 0.3 meter.