MERSING - Bau busuk dari rumah seorang peneroka Felda Tenggaroh 3 di sini membawa penemuan mayat pasangan suami isteri yang dipercayai telah  meninggal dunia beberapa hari.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, mayat A Wahab Yusof, 72 dan Nilam Ibrahim, 70 ditemui selepas polis menerima laporan orang awam yang mengadu bau busuk pada jam 11.05 malam tadi.

"Polis bertindak memecah masuk rumah berkenaan dan menjumpai dua tubuh manusia, seorang lelaki dan wanita berpakaian telah meninggal dunia di mana keadaan mayat telah membusuk.

"Semasa ditemui mayat wanita dalam keadaan berpakaian dan berada di atas katil. Sementara keadaan mayat lelaki dalam keadaan membusuk, mereput dan berair.

"Siasatan awal polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dalam kejadian,"katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat bagi mengetahui tentang punca kematian.