DUNGUN - Seorang lelaki tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia ketika sedang bermain badminton di Dewan Badminton TNB, Jalan Nibong, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Mazlan Embong, 57 dikatakan baharu bermain badminton 15 minit bersama rakan-rakannya.

Mangsa yang bekerja sebagai Ketua Teknikal Bahagian Pembahagian, TNB Dungun itu rebah ketika membuat pukulan balas dan tidak memberi seberang respon ketika bantuan pernafasan dilakukan rakannya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, pegawai perubatan yang tiba membuat pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak membabitkan sebarang unsur jenayah,”katanya.

Kes kematian mengejut kali kedua berlaku di daerah Dungun minggu ini apabila seorang jurutera, Juriza Muda, 36 disahkan meninggalkan dunia selepas bermain badminton dalam kejadian di Paka pada 27 Ogos lalu.

Laporan bedah siasatan berkait kes tersebut mendapati mangsa yang ditemui terbaring berhampiran keretanya meninggal dunia kerana mengalami masalah jantung.