JOHOR BAHRU - Mayat seorang budak lelaki berusia 10 tahun dipercayai lemas ditemui di kolam tadahan air berhampiran Flat Sri Siantan, Taman Tasik Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, kelmarin.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, mayat mangsa ditemui jam 11.11 malam selepas empat jam operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan.

Menurutnya, mangsa ditemui penyelam dari Balai Bomba Tebrau tersangkut di celahan batu di dasar kolam berkenaan, tidak jauh dari kawasan dipercayai lemas.

“Kawasan pencarian meliputi 30 kaki radius dari tempat mangsa kali terakhir dilihat lemas.

“Operasi bermula dari jam 7 malam dan tamat sekitar 11.50 malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa tidak dihanyutkan jauh kerana kawasan itu tiada arus kuat.

Katanya, budak itu dipercayai lemas kerana faktor kedalaman air sehingga 10 kaki dan permukaan dasar mem­punyai rekahan batu.

Jelasnya, mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suprintenden Norazam Shaari ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mangsa bersama rakannya datang ke sana jam 3 petang untuk main bola.

“Mangsa dipercayai lemas semasa cuba ambil bola yang hanyut di tengah kolam,” katanya.