YAN - Seorang maut, empat parah dan seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di simpang empat Ulu Sedaka di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang tadi, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nurizzatunhusna Mohd Aminudin Bakri, 24.

“Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Pesona dinaiki mangsa datang dari arah Guar Chempedak menghala ke Pulau Bunting dilanggar kereta Honda Stream dari arah Ulu Sedaka yang dipercayai tidak berhenti di persimpangan berkenaan.

“Akibatnya kereta Proton Pesona itu berpusing manakala kereta Honda Stream terbalik sehingga memasuki laluan kereta lain jenis Volkswagen Vento yang datang dari arah selekoh,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai tercampak keluar dari tempat duduk penumpang hadapan manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Pesona parah.

“Seorang penumpang Honda Stream turut parah dan seorang lagi penumpang cedera ringan. Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut.

“Mangsa yang meninggal pula dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat namun mangsa yang menaiki Volkswagen Vento tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Shahnaz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.