YAN - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di Jalan Hulu Sedaka pada jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis daerah Yan, Deputi Supritendan Shahnaz Akhtar berkata, mangsa yang berusia 43 tahun itu tinggal di Kampung Seberang Kuala Sala.

Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Simpang Empat Sedaka menghala ke Hulu Sedaka.

"Apabila sampai di tempat kejadian mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar pokok di bahu jalan, " katanya.

Shahnaz berkata, akibat kemalangan tersebut kenderaan mangsa mengalami kerosakan remuk di bahagian hadapan dan cermin besar pecah.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987.