ALOR SETAR - Seorang lelaki maut dipercayai dipijak gajah liar berdekatan hutan simpan di Padang Sanai, Kuala Nerang, semalam.

Mat Juhid Osman, 49, dikatakan dipijak gajah yang berang dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang di Kampung Hulu, di sini.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Nerang oleh sanak saudara sebelum disahkan meninggal dunia.

Satu laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

Berdasarkan aduan penduduk kepada Jabatan Perhilitan,  gajah liar pernah dilihat sekitar hutan simpan Padang Sanai.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan rizab hutan itu dikatakan mengakibatkan gajah berkeliaran di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Noh Idris mengesahkan kejadian itu dan berkata, pemilik dusun itu maut akibat parah dimuka dipijak gajah jantan yang mengamuk.