MANJUNG - Seorang warganegara Bangladesh maut dihempap traktor mesin rumput yang dipandunya di ladang kelapa sawit di Pantai Remis, di sini hari ini.

Kejadian sekitar jam 1.30 petang itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Pegawai Bomba Kanan II, Roshidan Hussin berkata, anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima pangilan kecemasan pada jam 1.55 petang.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa dengan bantuan jengkaut bagi mengalihkan traktor tersebut.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat jam 3.26 petang," katanya.