PARIT - Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap pokok dalam kejadian di kawasan pembalakan, Jalan Baru Parit - Seri Iskandar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Usman Udun, 54, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan mendapati mangsa yang menebang sebatang pokok dihempap oleh pokok mati berhampiran akibat aktiviti penebangan itu.

Mangsa ditemui tersepit di celah pokok oleh rakannya.

“Ketika mangsa menebang pokok, akar pokok itu telah tersangkut lalu terkena pada sebatang pokok mati yang kemudiannya tumbang ke arah mangsa.

“Kejadian itu disaksikan sendiri oleh rakannya sebelum menghubungi majikan bagi mendapatkan bantuan. Mayat dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat hari ini mendapati punca kematian akibat kecederaan di kepala.

“Jenazah diserahkan kepada isterinya untuk dibawa pulang ke Palembang, Indonesia,” katanya.