JOHOR BAHRU - Permintaan lauk masak lemak cili padi adalah permintaan terakhir Ali Ahmad, 68, yang maut selepas ditemui lemas di Tasik Kenyir, Terengganu, semalam.

Isterinya, Noraini Mohammad, 61, berkata, hidangan tersebut sempat dimasaknya sehari sebelum kejadian tersebut berlaku.

"Arwah memang suka ikan-ikan sungai, dia minta mak cik masakkan ikan belida, baung dan ikan sebarau yang ditangkapnya untuk dimasak lemak cili padi.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya lihat ayah terkapai-kapai minta tolong']

"Namun, sejak kebelakangan ini, dia tidak mahu makan nasi. Sama juga seperti kelmarin, arwah hanya makan lauk (masak lemak cili padi) yang diminta untuk dimasaknya," katanya.

Allahyarham Ali bersama hasil tangkapan ikan di Tasik Kenyir yang diperoleh sebelum kejadian.

Menurut, Noraini, tiada perubahan ketara yang ditunjukkan oleh arwahnya suami sebelum meninggal dunia.

"Tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan arwah. Kami sekeluarga memang tidak sangka. Tambahan pula, arwah memang seorang periang.

"Cuma pagi sebelum kejadian, ketika sarapan arwah tidak minum air kopi yang disukainya, sebaliknya minum air teh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Ali merupakan pesara pertanian ditemui lemas apabila bot dinaikinya bersama cucu-cucunya yang berusia empat hingga 11 tahun terbalik sebelum tiba di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Terengganu.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Wartawan Sinar Harian Johor, Datin Syareena, 37.

Menurut Syareena, kejadian yang berlaku kira-kira 10 pagi itu di depan matanya dan turut memberi kesan trauma kepadanya.

"Kami bercuti ke rumah bot di Tasik Kenyir sejak Sabtu lepas dan mahu pulang sebaik sahaja arwah membawa anak-anak saya ke Air Terjun Lasir yang terletak tidak sampai satu kilometer sahaja dari rumah bot kami.

"Tetapi, secara tiba-tiba, saya terkejut melihat anak menjerit apabila bot kecil yang dinaiki mereka bersama arwah terbalik menyebabkan kesemua mereka termasuk seorang pemandu bot terjatuh dalam air," katanya yang merupakan anak kedua.

Syareena berkata, suaminya terjun untuk menyelamatkan mereka dan dalam keadaan kelam kabut dan panik itu, dia meminta anak-anaknya yang ada asas kemahiran berenang berusaha selamatkan diri.

"Pemandu bot pula menyelamatkan diri sendiri dan mengambil jaket keselamatan, tetapi kelihatan sudah tidak larat untuk membantu semua.

"Suami cuba pula menyelamatkan arwah, arwah ketika itu terkapai-kapai. Saya meniupkan wisel untuk memohon bantuan daripada mereka yang berada berdekatan, tetapi tiada sesiapa yang membantu.

"Bagaimanapun, sebaik diselamatkan, arwah sudah telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans. Anak-anak saya juga turut trauma dengan kejadian yang tidak disangka ini," katanya.

Beliau turut kesal kerana pihak pengurusan di situ tidak menyediakan bantuan keselamatan dan diharap perkara itu segera diperbaiki.

Jenazah Ali yang merupakan bapa kepada empat anak berusia 38 hingga 28 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Aliff, di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.