KAJANG - Seorang mangsa keracunan arak yang kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kajang, dikatakan membeli minuman keras itu di sebuah kedai di Bangi Lama.

Warga Myanmar Min Laung Ain, 38, yang dimasukkan ke hospital berkenaan pada 11 malam semalam itu ketika ini dalam pengawasan rapi.

Majikannya A Selva, 52, berkata, sampel arak diminum mangsa dan rakannya dibawanya untuk pemeriksaan pihak hospital.

“Saya pelik bagaimana keadaan boleh sebegitu teruk sedangkan saya difahamkan mangsa dan tiga rakannya hanya meminum separuh daripada arak bersaiz satu liter itu,” katanya selepas melawat pekerja kilang cerucuk yang sudah berkhidmat dengannya selama 15 tahun itu, malam ini.

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian tersebut akan dibuatnya selepas ini.

Laung Ain ialah seorang daripada 33 mangsa yang dimasukkan ke beberapa hospital di Lembah Klang sejak semalam, dipercayai akibat keracunan arak.

Sementara itu, penyelia syarikat S Rajalingam, 39, yang membawa Laung Ain ke hospital, berkata beliau bimbang apabila Laung Ain yang pada awalnya masih bersuara bertukar senyap secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Ketika dalam perjalanan mangsa masih boleh bercakap, tiba-tiba senyap dengan mulut berbuih membuatkan saya takut dan memecut laju ke hospital. Laung Ain biasanya akan berkumpul dan minum bersama rakan-rakannya ketika cuti hujung minggu,” katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dalam satu kenyataan petang tadi, berkata 15 mangsa terdiri daripada warga asing dan tempatan maut dalam kejadian itu termasuk tujuh mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Empat meninggal dunia di Hospital Kajang manakala empat lagi maut ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.- Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: 15 maut selepas minum arak]