SHAH ALAM - Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) memberi tumpuan untuk menyalurkan bantuan khemah pada fasa ke dua Misi Bantuan Bencana Palu.

Pengerusi YDKMM, Ahmad Umair Zulkefli berkata, pihaknya memberi tumpuan untuk menyalurkan bantuan khemah memandangkan itu antara keperluan asas yang paling diperlukan mangsa bencana setakat ini.

Menurutnya, YDKMM mensasarkan sebanyak 300 khemah berukuran 10x10m diedarkan kepada mangsa pada fasa kedua bantuan bencana ini.

“Jumlah mangsa bencana Palu meningkat kepada 82, 775 orang pada 13 Oktober 2018 dan mereka masih tidak rasa selamat untuk tinggal berdekatan kawasan rumah masing-masing yang hancur dihanyutkan tsunami dan lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Umair berkata, kebanyakan mangsa bergerak ke kawasan tinggi kerana bimbang tsunami dan gempa kuat berulang lagi.

“Justeru, khemah sangat diperlukan untuk dijadikan tempat perlindungan sementara ditambah, pembinaan semula rumah mangsa bencana masih lama untuk dimulakan kerana bentuk muka bumi dan tanah yang masih perlu diteliti keadaanya.

“Tinggal di khemah itu lebih selamat dan sumbangan peralatan itu kelak sedikit sebanyak mampu menyelamatkan ribuan mangsa dari kesejukan, penyakit berjangkit atau mungkin kematian,” katanya.

Ahmad Umair menambah, semasa Misi Bantuan Bencana Palu yang pertama selama lima hari berakhir Sabtu lalu, pihaknya membawa bantuan antaranya barang keperluan asas seperti beras, biskut, mee segera,air mineral, sabun, lampin pakai buang bayi dan khemah.

”Sepanjang melaksanakan misi ini, YDKMM bekerjasama erat dengan Rumah Zakat Indonesia dan antara kawasan di Palu yang kami kunjungi adalah Kampung Pemandu, di sekitar Masjid Jabal An Nur dan kawasan yang dilanda tsunami paling teruk, Donggal Utara.

“Sebanyak 60 kotak lampin pakai buang bayi, 96 kotak air susu UHT, hampir 100 kotak air mineral, 400 bungkus mee segera, enam kotak tepung, empat khemah, diedarkan kepada mangsa bencana,” katanya lagi.