NILAI - Sebuah lori tangki yang membawa muatan cecair kimia bocor di Jalan Perak hadapan kilang SKF di sini, petang tadi.

Kejadian jam 4.15 petang itu, lori yang dalam perjalanan ke Pasir Gudang terhenti, apabila kepala lori terpisah dengan bahagian badan sewaktu membelok.

Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris akibat daripada kejadian tersebut, berlaku hentakan di bahagian pin lori tangki yang berisi bahan kimia itu, menyebabkan cecair tersebut mengalir keluar ke dalam longkang yang seterusnya ke sungai.

Katanya, tindakan awal yang dilakukan adalah membuat halangan di hujung longkang tersebut bagi mengelakkan cecair kimia itu mengalir ke sungai.

Anggota bomba dan penyelamat berusaha menyekat cecair kimia tersebut mengalir ke dalam sungai.

“Selain itu, kita juga sedang berusaha mengepam kesemua air yang ada dalam longkang di kawasan terlibat bagi mengelakkan bahan kimia itu mengalir ke sungai.

“Lebih kurang 20,000 liter cecair kimia telah mengalir ke dalam longkang.

“Kita percaya ada bahan kimia yang sudah terlepas ke sungai, oleh sebab itu pasukan kami telah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuat tindakan susulan.

“Sekiranya bahan kimia itu terlepas ke dalam sungai sudah pasti akan menjejaskan kualiti air tersebut sekali gus hidupan dalam air juga boleh mati,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Tambahnya, bahan kimia ini juga bahaya kepada manusia, jika tersentuh bahan tersebut ia boleh menyebabkan kegatalan, sakit tekak, pening kepala dan sakit mata.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja mengepam semula air yang terjejas kini giat dilakukan dengan bantuan pihak kilang berkenaan.

“Kita berharap tiada pencemaran lain berlaku, kita akan dapatkan keputusan kualiti air dengan JAS nanti,buat masa ini kita belum tahu lagi.

“Kerja-kerja dan tindakan awal telah pun dilakukan diharap ia dapat membendung bahan kimia itu mengalir ke sungai,” katanya.

Katanya, baki bahan kimia sebanyak 16,000 liter yang ada dalam tangki itu, akan dipindahkan ke dalam sebuah tangki lain untuk dibawa ke Pasir Gudang Johor bagi tujuan pemprosesan.