SIMPANG PULAI - Lima sekeluarga terselamat selepas sebuah pacuan empat roda terjunam ke dalam gaung sedalam 5 meter di KM21 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Fadzil Mohamad berkata, 10 anggota bergegas dengan tiga kenderaan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 12.59 tengahari.

"Setibanya di tempat kejadian, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berada di dalam gaung dan dimaklumkan terdapat mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut.

"Operasi membawa keluar mangsa diteruskan dan pemeriksaan seorang lelaki berusia 30 tahun cedera di paha akibat tercampak keluar dari kenderaan," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak perempuan berusia 7 dan lelaki  9 tahun telah dikeluarkan oleh orang awam dan telah mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Operasi diteruskan dengan mengeluarkan pasangan suami isteri berusia 50 tahun yang tersepit dengan menggunakan pemotong hidraulik.

"Kenderaan mangsa remuk di bahagian hadapan dan operasi mengambil masa hampir dua jam.  Kesemua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya.