PENGERANG - Lima lagi mayat bot pancung karam dijumpai dalam operasi mencari menyelamat (SAR) dilakukan hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mayat empat lelaki dan seorang wanita itu akan dibawa ke Jeti Marina Pengerang untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mayat berjaya dijumpai pasukan penyelamat antara jam 9.45 pagi hingga 1.45 petang dalam operasi dijalankan hari ini.

“Mayat pertama dan ketiga dijumpai 5.5 batu nautika timur laut Tanjung Siang. Mayat kedua 3.0 batu nautika timur laut Tanjung Penawar. Manakala mayat keempat dan lima ditemui 2.2 batu nautika tenggara Tanjung Penawar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bot pancung karam: Seorang maut, 25 lagi selamat]

“Tiga mayat dijumpai Maritim dan dua lagi dijumpai Polis Marin. Ekoran penemuan mayat ini menjadikan jumlah mangsa yang terkorban adalah tujuh orang,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Sanifah berkata, kawasan pencarian operasi juga diperluaskan sehingga 600 batu nautika persegi dari perairan Tanjung Sedili ke perairan Tanjung Penyusup.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut manakala 25 selamat selepas bot pancung dipercayai membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Batam karam kira-kira jam 12 malam di perairan Tanjung Punggai, Isnin lalu.

Maklumat kejadian itu diterima pihak Maritim kira-kira jam 4.45 pagi dari petugas pelantar minyak berhampiran yang menemui dua orang mangsa cuba mendapatkan bantuan.

Dipercayai seramai 44 orang Pati berusia 20-an hingga 40-an menaiki bot pancung berkenaan yang dikatakan bergerak dari Batam kira-kira jam 10 malam sebelum karam kira-kira 5.2 batu dari perairan Tanjung Punggai akibat lebihan muatan dan cuaca buruk.