BATU PAHAT - Seramai 16 penumpang mengalami detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 89.1 Lebuhraya Ayer Hitam-Yong Peng  arah Utara di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, nahas kira-kira jam 1.20 pagi itu berlaku apabila bas ekspres dari Johor Bharu menghala ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan dan terbabas sehingga menghalang lalu lintas.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pemandu bas berusia 27 tahun bersama empat penumpang cedera dan dirawat ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

Keadaan mangsa yang terlibat dalam nahas awal pagi itu.

"Manakala baki yang lain hanya mengalami cedera ringan. Dalam masa sama, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang cuba mengelak daripada kemalangan itu turut terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

"Hasil siasatan mendapati keadaan jalan lurus  dengan dua lorong sehala. Semasa kejadian, cuaca juga adalah baik, dan kawasan gelap tidak berlampu," katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 87.

Sementara itu, seorang pegawai bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng turut dikejarkan lokasi kejadian.