PUNCAK ALAM - Bunyi letupan kuat akibat paip pecah di dalam sebuah bilik peralihan haba di salah satu bangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, di sini menggemparkan orang ramai.

Komander operasi, Penolong Penguasa Bomba Sahidallah Osman menjelaskan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.05 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati, berlaku letupan di dalam sebuah bilik peralihan haba dengan keluasan 15x20 kaki persegi.

"Letupan terbabit mengakibatkan saluran paip yang membekalkan air ke pam centrifugal tidak berfungsi dan pasukan bomba mengambil tindakan menyejukkan kawasan terjejas," katanya.

Katanya, pasukan bomba dengan kekuatan lapan pegawai dan anggota itu menggunakan satu aliran salur bantu dari pam jentera untuk menyejukkan kawasan sehingga keadaan benar-benar selamat.

"Setakat ini punca letupan masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada Sinar Harian.