SEREMBAN - Seorang pelajar tingkatan tiga lemas kerana tergelincir ketika memancing bersama bapanya di Sungai Linggi, Jalan Kuala Sawah di sini, tadi.

Mayat Mohd Afiq Aizat Mohd Noor, 15, ditemui oleh anggota bomba jam 5.15 petang di lokasi tempatnya terjatuh.

Ketua Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 4.31 petang dan sampai ke lokasi 4.57 petang.

"Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 dan unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dari BBP Senawang telah dikerah ke lokasi dengan kekuatan anggota seramai 10 orang.

"Unit Scuba dari BBP Teluk Kemang telah memulakan pencarian dan mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tempatnya terjatuh dan dipercayai telah meninggal dunia," katanya.

Mayat mangsa telah diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.