KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati rentung di dalam keretanya setelah kenderaan yang dipandunya terbabas lalu terbakar akibat melanggar pembahagi jalan di KM 16.7 Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke Kuchai Lama di sini awal hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pantai berkata tujuh anggotanya yang digerakkan ke tempat kejadian mengalihkan kenderaan itu ke tepi jalan bagi mengelak laluan terhalang sebelum mengeluarkan mangsa terbabit.

Katanya mangsa yang berusia 27 tahun itu ditemui rentung di bahagian tempat duduk  pemandu kenderaan itu.

Sebelum itu, JPBM Pantai menerima panggilan daripada Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS999) pada 4.07 pagi mengenai kejadian membabitkan kereta jenis Honda City berkenaan.

“Api marak dapat dikawal sepenuhnya pada 4.28 pagi tadi. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- Bernama