JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 30 Jalan Johor Bahru - Pontian di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Wu Chan Kiong, 51, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian muka dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa dari arah Kangkar Pulai menghala ke Pontian masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta itu kemudian bertembung dengan bas yang bergerak dari arah Pontian.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba yang tiba di tempat kejadian.

"Mangsa patah di kedua-dua belah kaki dan cedera di bahagian muka sebelum disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Noor Hashim berkata, ketika kemalangan juga, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia turut membawa seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak tersebut hanya mengalami kecederaan dan sudah dibawa ke hospital berhampiran.

"Manakala, pemandu bas berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.  

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.