KLUANG - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung di KM64.2 Jalan Yong Peng-Kluang berdekatan Jalan Padang Tembak, di sini, malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.05 tengah malam itu menyebabkan mangsa, Jurkifli Hassan, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis proton Wira dari arah bulatan Taman Sri Lambak menuju ke Batu 4, Jalan Mersing.

“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu melanggar tiang elektrik dan terjunam ke dalam gaung.

“Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mohamad berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.