SABAK BERNAM -  Seorang lelaki terkorban dalam nahas selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 39, Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Kampung Tebuk Pulai, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Kabib @ Damandhuri Abdul Salam, 51, yang beralamat di Jalan Masjid Batu 38 meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa yang menunggang bersendirian motosikal jenis Honda EX5 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Hasil siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah lori muatan baja ikan dari arah Sungai Besar dalam perjalanan menghantar muatannya ke Hutan Melintang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah kiri dari Jalan Masjid Batu 38 hendak menyeberang jalan untuk menuju ke arah Sungai Besar.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu lori gagal mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya.

Nor Azmi berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa jatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah.