DUNGUN - Seorang pemandu lori maut digilis kenderaanya sendiri dalam kejadian di sebuah tapak perindustrian di kampung Santong, Paka, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang, Yuslan Yusof, 38, maut ketika cuba menghentikan lori seberat tiga tan yang bergerak sendiri secara tiba-tiba.

Keadaan itu dipercayai berlaku kerana brek tangan tidak ditarik dengan sempurna.

Jenazah mangsa dibawa keluar dari Klinik Kesihatan Paka untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun.

Melihat lori bergerak, mangsa yang berada berhampiran cuba mengejar dan melompat masuk ke dalam lori tetapi tergelincir dan terjatuh sebelum digilis tayar kenderaan berat itu.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian bahu hingga ke peha.

Mangsa yang tinggal di Kampung Bukit Merah, Paka dikejarkan ke Klinik Paka untuk rawatan kecemasan dan disahkan sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.