REMBAU – Seorang Pegawai Perhilitan Negeri Sembilan maut terkena tembakan ketika menjalankan operasi bersepadu membasmi musuh tamanan (kera) berhampiran Masjid Kampung Durian Daun di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi itu, Cyril Quin, 35, terkena tembakan pada bahagian dada kanannya dan disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Rembau.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa bersama 16 lagi anggota jabatan berkenaan terlibat dalam operasi itu yang bermula pada jam 9.45 pagi.

“Operasi itu dilakukan atas permintaan penduduk kampung terbabit dan mereka telah berkumpul di kawasan masjid pada jam 8.30 pagi.

“Sebelum memulakan operasi, taklimat penggunaan senjata api telah disampaikan oleh ketua operasi dan semua pasukan telah bergerak ke kawasan operasi masing-masing dengan dipandu arah oleh penduduk kampung jam 9.45 pagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, setengah jam kemudian mangsa mengadu telah terkena tembakan pada bahagian bahu dan berlari menuju ke arah kenderaan untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Rembau, namun disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 10.30 pagi akibat parah pada bahagian dada belah kanan.

Sementara itu katanya, polis telah merampas 16 laras senjata api yang digunakan dalam operasi itu dan kesemua anggota terlibat ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan awal juga mendapati semua anggota terlibat mempunyai lesen senjata api. Tapi, siasatan masih dilakukan untuk mengetahui bagaimana mangsa terkena tembakan,” katanya.