BAGAN SERAI - Hajat seorang lelaki melepak bersama rakannya bertukar tragedi apabila pergelangan tangan kanannya hampir putus ditetak dua suspek dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai snuker di Jalan Maharaja 1, di sini malam semalam.

Bagaimanapun, identiti dua suspek terbabit sudah dikenal pasti anggota Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD Kerian) dan gerakan mencari mereka sedang giat dijalankan ketika ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa, N Uvaaraj, 18, dari Taman Serai Perdana, di sini mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kanan dan putus jari kelingking tangan kiri setelah ditetak suspek dengan menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lebih kurang jam 9.33 malam, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengatakan terdapat pergaduhan di hadapan sebuah pusat snuker melibatkan seorang tiga lelaki.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tangan hampir putus ditetak]

Menurutnya, siasatan awal mendapati semasa mangsa dan rakannya sedang berbual di hadapan pusat snuker itu, suspek telah datang dengan menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna hijau dengan nombor pendaftaran tidak pasti.

"Kedua-dua suspek kemudiannya keluar dari kereta itu dengan membawa parang sebelum bertindak mengejar mangsa yang ketika itu bertindak melarikan diri ke dalam sebuah kedai kopi berhampiran.

Mangsa ditemui terduduk di lokasi kejadian dengan keadaan pergelangan tangan kanan hampir putus.

"Mangsa kemudian ditetak oleh dua suspek terbabit sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian atas tapak tangan kanan dan putus jari kelinking tangan kiri.

"Suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kereta," katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, identiti kedua-dua suspek dicam rakan mangsa yang kebetulan bersama mangsa sewaktu kejadian berlaku.

Menurutnya, dua suspek berkenaan dikenali K Vijayan,31, dan Yeong Ah Peng,32, di mana kedua-duanya berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang, manakala Ah Peng kacukan India dan Cina.

"Gerakan mencari dan mengesan kedua-dua suspek berkenaan masih giat dijalankan.

"Polis turut meminta mana-mana pihak mempunyai maklumat mengenai keberadaan kedua-dua suspek berkenaan supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Raboni Anak Jistin di talian IPD Kerian 05-7212222,"katanya.

Omar Bakhtiar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326KK iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda merbahaya.

"Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua puluh tahun dikenakan denda atau sebat," katanya.