PARIT BUNTAR - Malang nasib seorang pemilik kereta apabila kereta di parkir di bahagian garaj rumahnya di Taman Kurau Jaya, Kuala Kurau musnah terbakar, awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Penolong Bomba Kanan II, Ahmad Sani Nayan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.14 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, tiba di rumah mangsa, pihaknya mendapati api marak membakar keseluruhan Toyota Vios.

“Pihak bomba segera memadamkan api dengan menggunakan dua hos saliran air dari tangki jentera.

“Kebakaran itu berjaya dipadamkan namun kereta terbabit hangus 90 peratus.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 6.05 pagi,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa enggan dikenali berkata, sewaktu kebakaran berlaku, pemilik kenderaan tiada di rumah.

“Manakala isteri dan anaknya bertindak lari keluar dari rumah berkenaan melalui pintu belakang bagi menyelamatkan diri.

“Punca sebenar kenderaan itu terbakar masih ‘misteri’,” katanya.