SHAH ALAM - Jumlah kematian membabitkan mangsa yang dipercayai keracunan selepas minum pelbagai jenis arak di Selangor meningkat kepada 19 orang, sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat jam 8 malam tadi, jumlah mangsa keseluruhan adalah 56 orang.

"Kesemua mangsa ini melibatkan warga tempatan seramai empat orang, Myanmar (13 orang), Nepal (26 orang), Bangladesh (10 orang), India (2 orang) dan seorang lagi masih belum dapat dipastikan.

"Daripada jumlah tersebut, 19 orang meninggal dunia, 17 orang masih dalam rawatan dan selebihnya telah dibenarkan keluar hospital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Polis Selangor memberitahu, seramai tujuh pengusaha premis ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian akibat keracunan meminum arak.

Tangkapan dibuat sejak semalam di Bukit Kemuning, Seksyen U5, Taman Seri Muda di Shah Alam, Taman Sri Gombak, Taman Daya dan Taman Sri Ehsan Kuala Lumpur, Kampung Baru Subang dan Bandar Rinching, Semenyih.

Tangkapan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 40-an dengan rampasan sebanyak 1,030 botol wiski pelbagai jenama termasuk Grand Royal Wiski dan Mandalay Wiski serta 1,767 tin bir termasuk jenama Valcano serta King Fisher.

[ ARTIKEL BERKAITAN : 15 maut selepas minum arak ]

[ ARTIKEL BERKAITAN : Maut keracunan alkohol: 7 pengusaha premis ditahan ]

Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.