GERIK - Pertembungan dengan treler bermuatan balak menjadi punca tiga sekeluarga maut dalam nahas di KM59, Jalan Raya Timur Barat, Gerik - Jeli, hari ini.

Nahas kira-kira jam 4.30 petang itu mengorbankan Mohd Nizam Suhaidin, 34, dan isterinya, Noor Hafizah Ismail, 34 dan anak mereka, Muhammad Afiq berusia enam tahun.

Turut terkorban adalah pemandu treler, Redzuan Abd Ghani, 59, manakala, bayi pasangan berkenaan, Nur Hanania Maisarah berusia dua tahun parah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, keluarga terbabit menaiki Proton Saga dalam perjalanan pulang ke Machang, Kelantan manakala lori terbabit dari arah bertentangan.

"Apabila tiba ditempat kejadian dilaluan berselekoh, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.

"Pertembungan itu menyebabkan kesemua mangsa parah dan empat daripadanya disahkan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, mayat keempat-empat mangsa dibawa ke unit forensik untuk bedah siasat manakala bayi terbabit dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.