KEMAMAN - Kebakaran tangki minyak mentah di kilang memproses tar, Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd di kawasan perindustrian Teluk Kalong, di sini, menjadi kebakaran paling besar berlaku di Terengganu setakat ini.

Sehingga pagi ini, kebakaran yang bermula kira-kira jam 6.15 petang semalam itu telah memusnahkan tiga daripada lima buah tangki minyak mentah yang ketiga-tiganya berkapasiti lebih 20,000 meter padu.

Kebakaran itu turut menyebabkan beberapa letupan kuat berlaku sehingga gegarannya dapat dirasai sehingga jarak melebihi 10 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, tangki pertama terbakar berkapasiti 4,800 meter padu sebelum ia merebak ke tangki kedua yang berkapasiti 1,582 meter padu dan tangki ketiga berkapasiti 13,679 meter padu.

Katanya, dua daripada tangki berkenaan terbakar 100 peratus dan pihaknya berusaha memadamkan kebakaran tangki ketiga di bahagian bumbung.

“Kita memberi tumpuan mengawal api di tangki ketiga yang terbakar menggunakan tembakan buih melalui saluran paip dalam tangki tersebut bermula dari bawah tangki ke bahagian atas.

“Kita kawal supaya (api) tidak merebak ke tangki keempat dan kelima. Tangki keempat dan kelima juga kita kawal sepenuhnya dengan sistem penyejukan agar tidak turut terbakar,” katanya.

Bekalan buih tiba di pos kawalan bomba untuk digunakan bagi mengawal api pada tangki ketiga yang terbakar.

Azlimin berkata, dalam usaha mengawal kebakaran menggunakan buih itu, sebanyak 8,000 liter buih dibekalkan KBC manakala 6,000 lier buih disediakan JPBM Terengganu.

“Kita juga dalam usaha untuk mendapatkan tambahan buih daripada ibu pejabat JPBM sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Menurutnya, sumber air yang digunakan untuk kerja-kerja pemadaman pula diperoleh dari Syarikat Air Terengganu (Satu) selain sumber air sedia ada serta dari Pangkalan Bekalan Kemaman (KBC).

Kata Azlimin, operasi pemadaman kebakaran itu dilakukan dengan keanggotaan yang ramai iaitu 78 pegawai dan anggota JPBM Terengganu dari 11 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dengan bantuan 33 anggota JPBM Pahang dari empat BBP.

Katanya, pihaknya turut dibantu seramai 16 anggota pasukan khas Emergency Respons Team (ERT) dari KBC dan 25 anggota dari KSB dan tujuh agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ditanya mengenai punca kebakaran, Azlimin memberitahu, punca kebakaran masih tidak dapat dikenal pasti kerana ketika ini pihaknya memberi tumpuan terhadap kerja pemadaman.

Katanya, kebakaran itu mungkin mengambil masa agak lama untuk dipadamkan sepenuhnya disebabkan minyak mentah merupakan bahan mudah terbakar.