KEMAMAN - Kebakaran tangki minyak mentah di kilang memproses tar, Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd di kawasan perindustrian Teluk Kalong, turut mencederakan seorang mangsa.

Difahamkan ketika kejadian mangsa, Rosli Muhamad, 42, bersama tiga lagi rakannya dipercayai sedang melakukan kerja-kerja kimpalan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata, mangsa yang cedera merupakan pekerja syarikat kontraktor yang dipercayai sedang melakukan kerja penyelenggaraan di tangki minyak mentah berkenaan.

Kebakaran turut mengakibatkan letupan kuat sekitar kawasan kejadian.

"Akibat kejadian itu mangsa yang melecur muka dan tangan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran tangki minyak: Tiga tangki musnah setakat ini ]

Dalam kejadian 6.15 petang semalam, tangki simpanan minyak milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di kawasan perindustrian Teluk Kalong, di sini, terbakar.

Kebakaran itu menarik perhatian ramai kerana asap hitam dan tebal boleh dilihat dalam jarak sejauh lebih 10 kilometer.

Sehingga pagi ini, kebakaran itu telah memusnahkan tiga daripada lima buah tangki minyak mentah yang ketiga-tiganya berkapasiti lebih 20,000 meter padu.