PUTRAJAYA - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran di kilang penapisan tangki minyak mentah Kemaman Bitumen Company (KBC), Telok Kalong, Kemaman selepas keadaan stabil dan selamat.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan hari ini berkata setakat pukul 9 pagi tadi, kebakaran pada sebuah daripada tiga tangki telah dapat dipadamkan pasukan Bomba dan Penyelamat.

“Usaha-usaha memadam kebakaran pada dua tangki lain sedang giat dijalankan,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran tangki minyak: Tiga tangki musnah setakat ini ]

Kementerian itu berkata JKKP turut menasihatkan orang ramai terutama pengguna media sosial seperti Facebook supaya menghentikan sebarang kenyataan atau komen yang mengelirukan berkaitan insiden itu.

Dalam kejadian pada 6.15 petang semalam, tiga daripada lima tangki minyak mentah di KBC terbakar menyebabkan seorang kontraktor cedera parah manakala tiga yang lain cedera ringan. - Bernama