KEMAMAN - Kebakaran yang memusnahkan tiga tangki minyak mentah Kemaman Bitumen Company (KBC) dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam lagi.

KBC menerusi kenyataan media rasminya berkata, ketika ini minyak di dalam tangki yang musnah sedang terbakar bawah kawalan pasukan bomba.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu dijangka tidak mendatangkan kemudaratan kepada keseluruhan kilang penapisan KBC atau kepada mana-mana kawasan perumahan dan premis perniagaan yang terletak berhampiran.

"Kemalangan yang berlaku selepas jam 6 petang (semalam) mengakibatkan kebakaran di salah sebuah tangki penyimpanan minyak mentah di kilang penapisan dan ianya telah merebak tidak lama kemudian ke tangki bersebelahan.

"Semasa kejadian, kilang penapisan tidak menjalankan operasi 'shutdown' sejak tiga minggu yang lalu. Bekalan gas asli segera ditutup oleh pasukan KBC sejurus berlaku kebakaran dan pihak bomba telah dimaklumkan," kata kenyataan itu.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 petang dan segera mengambil alih kerja pemadaman api seperti yang ditetapkan oleh protokol dengan dibantu pasukan KBC.

Tambahnya, pasukan pemadam kebakaran berjaya mengawal kebakaran di dua tangki terjejas di kawasan yang terhad tanpa membenarkan merebak ke kawasan lain namun pada masa sama bumbung di tangki yang ketiga yang terletak bersebelahan juga disambar api tetapibia berjaya dikawal.

"Pasukan bomba membiarkan minyak di dalam dua tangki terjejas terbakar di bawah kawalan dan sebab itulah api dan asap masih dilihat di kawasan kilang.

"Tangki-tangki lain yang berdekatan disiram dengan air secara berterusan bagi mengelakkan api terus merebak. Memandangkan stok minyak mentah yang terjejas adalah pada tahap yang rendah, ianya mengelakkan situasi menjadi lebih serius," katanya.

Tegasnya, kebakaran itu tidak menyebabkan kecederaan parah atau kemalangan jiwa.

"Hanya seorang pekerja syarikat kontraktor yang mengalami kecederaan ringan akibat melecur dan segera dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya lagi.

Katanya, penyiasatan lengkap akan dilakukan apabila situasi sepenuhnya berada di dalam kawalan dan pihak KBC akan berkongsi penemuan penyiasatan kepada pihak berkuasa seperti yang ditetapkan.