PALU - Tragis dan memilukan! Itulah gambaran yang dapat disimpulkan menerusi kisah-kisah penduduk di sini, tatkala menceritakan semula kejadian bencana gempa disusuli tsunami  yang melanda kota mereka, pada 28 September lalu.

Ada antara mereka hilang ibu, anak, suami serta keluarga tercinta dek bencana yang 'hadir' secara tiba-tiba di kota ini.

Tidak pasti mahu lari ke mana digambarkan kejadian sangat dahsyat hinggakan hanya dalam masa beberapa minit ratusan nyawa hilang selepas 'ditelan' bumi serta dibadai tsunami.

Antaranya kisah seorang nenek bernama Ibu Mina yang menyaksikan dan mengalami sendiri bagaimana dahsyatnya bencana itu.

"Saya dalam rumah ketika itu, bunyi tanah runtuh sungguh kuat, bagai gemuruh.

Ibu Susianti tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan kejadian itu.

"Saya fikir kayaknya seperti sudah mahu kiamat saya berdiri sahaja, sudah pasrah tanah sudah mulai runtuh...saya peluk cucu saya," katanya yang juga merupakan penduduk Desa Petobo kepada Sinar Harian.

Katanya, apa yang boleh digambarkan adalah penempatannya seperti di'blender'.

"Mula tanah runtuh jadi rumah turut rebah, selepas itu tanah berputar-putar, dan ia kampung kami seperti di 'blender' hancur semuanya, mujur saya terselamat bersama cucu saya," katanya.

Katanya dia terselamat, selepas badannya ditenggelami lumpur.

"Nyawa bagai sudah mahu ditarik ALLAH, saya terus berdoa ya ALLAH selamatkan aku dan cucuku ini," katanya yang akhirnya dia diselamatkan oleh sukarelawan yang hadir ke situ selepas dua hari kejadian untuk misi SAR.

Katanya, lumpur yang melekat dibadannya mengambil masa hingga tiga hari untuk dibersihkan.

"Apa yang memilukan anak gadis saya meninggal dunia dalam kejadian ini," katanya.

Jelasnya, penempatan yang memuatkan ribuan nyawa itu akhirnya hilang sekelip mata.

Desa Petobo yang binasa selepas kejadian

"Ribuan yang meninggal dunia, hanya beberapa orang sahaja yang selamat termasuk saya dan cucu lelaki berumur dua tahun," katanya.

Sementara itu menurut ibu Susianti pula dalam kejadian itu dia kehilangan dua anak.

"Seorang anak gadis saya ketika itu tengah 'bersiap', sementara seorang anak lelaki saya yang berumur setahun lebih meninggal selepas ia terlepas daripada pelukan saya.

"Kalimat terakhirnya yang saya dengar hanya Allahuakbar," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sinar Harian, NGO Serantau Muslim gerak misi bantuan ke Palu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan dari Malaysia bawa khabar gembira buat Palu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kalimah syahadah, selamatkan diriku!]

Sinar Harian kini bersama NGO Serantau Muslim menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ke kota Palu, Sulawesi Indonesia.

Misi bantuan yang berangkat pada Jumaat lalu akan berada di Palu sehingga 20 Oktober untuk menghulurkan bantuan.

Kota Palu yang digegarkan dengan gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar iu, pada 28 September lalu telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.

Difahamkan di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas kejadian berkenaan.

Jadi sekiranya orang ramai yang ingin turut membantu sumbangan  boleh disalurkan ke akaun Maybank 564276529068 Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Tsunami 'membelah' selamatkan masjid Terapung Palu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Gempa 7.7 magnitud landa Sulawesi, seorang maut, 10 cedera]

[ARTIKEL BERKAITAN: Palu dilanda tsunami selepas gempa kuat]

[ARTIKEL BERKAITAN: Upacara ritual Balia punca turunnya bencana?]