MACHANG - Pegawai Khidmat Pelanggan, Pejabat  Penasihat Undang- Undang  Kelantan,  Mohd Zaki  Mustafa, 57 maut apabila kereta dinaikinya terbabit kemalangan di  Kilometer 38.5 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 1.26 pagi itu, mangsa bersama keluarga dikatakan dalam perjalanan dari Tanah Merah  untuk pulang ke rumah mereka , di Bachok.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzuklifli Abdul Ghani berkata,  kereta dinaiki mangsa, Jenis Suzuki Vitara bertembung dengan kereta jenis Perodua Axia berdekatan dengan syarikat pengiklanan, di sini.

Katanya,  siasatan awal mendapati kereta yang dipandu anak mangsa  hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Jenis Perodua Axia dari arah Kota Bharu-Kuala Krai.

Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah dan tersepit di dalam kenderaan manakala empat yang lain termasuk pemandu Perodua Axia, cedera parah.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum  dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.