GUA MUSANG - Seorang jurujual maut apabila kenderaan yang dinaiki terbabas di Kilometer 71, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu menyebabkan mangsa, Ng Jiunn Jye, 20, beralamat di Kampung Baru, di sini, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menuju Ke Kuala Krai.

Katanya, tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Nissan yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali sebelum merempuh kenderaan lain di laluan bertentangan.

"Kenderaan mangsa merempuh kereta jenis Peugeot, yang dipandu seorang guru, Nurulhasanah Abdul Rahman, 28, yang beralamat di Pulai Chondong.

"Rempuhan itu menyebabkan guru tersebut cedera ringan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM).

"Bedah siasat dilakukan pada jam 7 malam tadi kemudian diserahkan kepada keluarga selepas proses berkenaan selesai," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.