KUALA NERUS - Seorang imam masjid dan isterinya maut selepas kereta bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 36 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat selekoh Jalan Felda Belara di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai Latib Ishak,66, dan isterinya, Rahanah Hamid, 60.

Kedua-dua mangsa yang beralamat di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Cherul, Kemaman itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika pemandu kenderaan jenis Isuzu D-Max berusia 21 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Tong, Setiu menghala ke Sungai Ikan, Kuala Terengganu.

Katanya lagi, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan Isuzu D-Max itu dilanggar kereta Proton Wira dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit meninggal dunia di tempat kejadian

"Mayat pasangan terbabit kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat jenazah mereka diserahkan kepada ahli keluarga untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Razak berkata, pemandu lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.