KOTA TINGGI - Ibu kepada mangsa lemas Muhammad Norhakimi Rejab, 18, tidak mengetahui bahawa anak sulungnya itu pergi ke Pantai Batu Layar untuk bermandi-manda.

Norizan Che Mat, 36, berkata dia hanya mengetahui anaknya itu berada di pantai berkenaan selepas pihak polis menghubunginya pagi semalam.

"Malam Ahad merupakan kali terakhir kami berjumpa di rumah. Masa tu Hakimi tanya pada saya ada lampu picit tak? Tapi tak cakap lebih lanjut nak buat apa dan nak pergi mana.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lemas di Batu Layar: Satu mayat dijumpai]

"Saya nampak dia naik kereta dengan rakan-rakanya. Hakimi memang gemar mandi laut namun ketika kejadian dia tidak memaklumkan saya mahu ke Batu Layar sehinggalah pagi kejadian polis memaklumkan anak saya hilang ketika mandi laut," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), hari ini.

Tambahnya, sejak dua bulan lalu Norhakimi lebih suka bersendirian dan kurang bercakap dengannya.

Katanya, Norhakimi juga sudah biasa tidak balik ke rumah kerana tidur di rumah rakannya bahkan kehidupannya lebih banyak dihabiskan bersama rakan-rakannya.

"Namun semua rakannya saya kenal. Noor Rahimi Fithri seorang lagi mangsa yang lemas merupakan sahabat baiknya yang tinggal di satu taman dengan kami. Ketika kejadian saya difahamkan Hakimi ikut Rahimi dan keluarganya.

"Hakimi sebelum ini bekerja di kedai serbaneka. Dia seorang anak yang bertanggungjawab setiap kali gajinya tidak pernah lupa untuk digunakan bagi membantu keluarga," katanya yang memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai.