BERCHAM - Seorang wanita meminta bantuan orang ramai untuk mengesan anak lelakinya berusia 10 tahun yang dipercayai hilang di Persiaran 5/2, Bandar Baru Putra, hari ini.

Ainun Zaharah Ismail, 36, menyedari anaknya, Ahmad Aqil Akbar Zaid, hilang apabila dia hanya menemui basikal di tepi jalan berhampiran rumah mereka.

“Sepatutnya saya hantar dia ke sekolah tetapi motosikal rosak. Saya hantar ke bengkel dan anak saya tinggal seorang di rumah.

“Jiran ada nampak anak saya bermain basikal di kawasan rumah. Itu kali terakhir dia dilihat. Tolong hubungi balai polis kalau berjaya menemuinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kehilangan murid Sekolah Rendah Al Hidayah itu mula tular dalam laman sosial hari ini. Kanak-kanak itu memakai baju T putih, seluar sekolah berwarna biru dan berselipar coklat.