LIPIS - Seorang wanita terbunuh selepas kenderaan yang dinaikinya terlanggar belakang sebuah lori yang rosak di  Kilometer 37, Jalan Lipis-Merapoh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu,mangsa Khatijah Awang,53 dari Kampung Seberang Limbongan,Terengganu menaiki kenderaan jenis Nissan Almera yang dipandu oleh menantunya,Hazlan Hashim yang hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah,Superintendan Azri Akmar Ayob berkata, mangsa yang juga seorang peniaga kedai makan maut di lokasi kejadian selepas cedera parah di kepala dan dada.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dikatakan dari Besut,Terengganu menghala ke Raub telah merempuh bahagian belakang sebuah lori tiga tan muatan getah sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Haszlan tidak menyedari lori yang berada dalam keadaan makan jalan di lorong perlahan menyebabkan dia tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan.

"Pemandu lori mendakwa berhenti di situ kerana tayar kiri belakangnya pecah dan telah meletakkan segi tiga tanda kecemasan dalam jarak  10 meter dari lorinya," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini," katanya.

Azry Akmar berkata pemandu lori Siow Yew Khen, 31, yang beralamat di Ipoh, Perak tidak mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

Beliau menambah jenazah Khatijah dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan menantunya juga kini dirawat di hospital sama.

Kemalangan menyebabkan kereta itu remuk teruk pada bahagian hadapan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987. - Bernama.